PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah dilanjutkan

Astro Awani
Disember 28, 2020 10:55 MYT
Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Selangor (kecuali di daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam) dan dijadual tamat pada 31 Disember 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelanjutan dan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah dan negeri terlibat.
Berikut senarai PKPB dilanjutkan dan ditamatkan:
PKPB DILANJUTKAN:
1. Negeri Selangor
• Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Selangor (kecuali di daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam) dan dijadual tamat pada 31 Disember 2020.
• Hari ini KKM turut memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Selangor bagi tempoh 14 hari dari 14 Disember sehingga 27 Disember 2020.
• Secara kumulatif, sehingga 27 Disember 2020 sebanyak 29,272 kes positif COVID-19 telah direkodkan di negeri ini.
• Bagi tempoh 14 hari ini, Selangor merekodkan sebanyak 8,194 kes positif COVID-19 baharu dan kesemua 9 daerah di negeri ini telah menjadi zon merah.
• Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPB di seluruh Selangor sehingga 14 Januari 2021.
2. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
• Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPB di Kuala Lumpur dan dijadual tamat pada 31 Disember 2020.
• Hari ini KKM turut memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Kuala Lumpur bagi tempoh 14 hari dari 14 Disember sehingga 27 Disember 2020.
• Secara kumulatif sehingga 27 Disember 2020, sebanyak 12,494 kes positif COVID-19 telah direkodkan di Kuala Lumpur.
• Bagi tempoh 14 hari ini, WP Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 4,379 kes positif COVID-19 baharu.
• KKM turut mengesahkan masih terdapat peningkatan ketara kes positif COVID-19 di WP Kuala Lumpur dan wujud beberapa kluster baharu yang melibatkan wilayah ini.
• Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju agar PKPB di seluruh WP Kuala Lumpur dilanjutkan lagi bermula 1 Januari sehingga 14 Januari 2021.
3. Mukim 12, Barat Daya dan Mukim 13, Timur Laut, Pulau Pinang.
• Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12, Barat Daya dan Mukim 13, Timur Laut, Pulau Pinang yang dijadual berakhir pada 31 Disember 2020.
• KKM memaklumkan, pergerakan kes dalam tempoh 14 hari sehingga 26 Disember 2020 merekodkan kes-kes baharu yang masih tinggi dan terdapat kluster-kluster yang masih aktif.
• Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan lagi PKPB di Mukim 12, Barat Daya dan Mukim 13, Timur Laut, Pulau Pinang sehingga 14 Januari 2021.
4. Seremban
• Bagi Daerah Seremban, sehingga kini, KKM mengesahkan baki kes aktif positif COVID-19 di daerah ini adalah sebanyak 861 kes dan masih terdapat banyak kluster yang aktif.
• Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju agar PKPB di Daerah Seremban dilanjutkan lagi bermula 1 Januari sehingga 14 Januari 2021
5. Johor Bahru dan Batu Pahat
• KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes bermula 26 Disember dan dalam tempoh 2 minggu baki kes aktif di daerah ini adalah sebanyak 756 kes.
• Manakala bagi Batu Pahat, sehingga kini sebanyak 151 kes direkodkan dalam masa 14 hari.
• Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di Johor Bahru dan Batu Pahat bermula 1 Januari sehingga 14 Januari 2021
6. Sabah
• Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan PKPB di Sabah dan dijadual tamat
pada 31 Disember 2020.
• Hari ini KKM turut memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Sabah bagi tempoh 14 hari dari 14 Disember sehingga 27 Disember 2020.
• Secara kumulatif sehingga 27 Disember 2020, sebanyak 36,074 kes positif COVID-19 telah direkodkan di seluruh negeri Sabah.
• Bagi tempoh 14 hari ini, Sabah merekodkan sebanyak 3,243 kes positif COVID-19 baharu.
• KKM turut mengesahkan masih terdapatan peningkatan jumlah kes harian COVID-19 di seluruh negeri ini.
• Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju agar PKPB di seluruh Negeri Sabah dilanjutkan lagi bermula 1 hingga 14 Januari 2021.
PKPB DITAMATKAN:
1. Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta
• Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPB di Kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta dan dijadualkan tamat 31 Disember 2020
• Sehingga kini, KKM mengesahkan baki kes aktif di kedua-dua kawasan ini menunjukkan trend penurunan ketara dan terkawal.
• Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPB di Kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta pada 28 Disember 2020 lebih awal daripada yang dijadualkan.
2. Port Dickson
• Di Port Dickson, hanya melaporkan 22 kes dalam tempoh 14 hari.
• Atas nasihat KKM, PKPB Daerah Port Dickson ditamatkan pada 28 Disember 2020 lebih awal daripada yang dijadualkan.
3. Kulai
• KKM mengesahkan baki kes aktif di daerah ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal.
• Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPB di Kulai pada 28 Disember 2020 lebih awal daripada yang dijadualkan.
COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
#PKPB #tamat #lanjut #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #COVID-19 #KKM #Kuala Lumpur #ismail sabri yaakob #Selangor #Sabah