PKPB: Johor benarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri dengan syarat

Astro Awani
Mei 13, 2020 10:33 MYT
Tosrin (gambar) berkata hanya Imam Satu, Imam Dua, Bilal, Noja dan 8 anggota jawatankuasa masjid atau surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula Jumaat ini. - Gambar fail
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat hari raya Aidilfitri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Namun ia hanya dihadkan kepada 12 orang jemaah bagi satu-satu masjid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata 12 orang itu ialah Imam Satu, Imam Dua, Bilal, Noja dan 8 anggota jawatankuasa masjid atau surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula Jumaat ini.
Mereka juga perlu mematuhi garis panduan yang disediakan JAINJ dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk pemeriksaan kesihatan dan penjarakan sosial.
Katanya pemantauan akan dilakukan anggota keselamatan bagi memastikan jumlah yang dihadkan dipatuhi.
"Pihak jawatankuasa di peringkat daerah akan memastikan ada pengawasan rapi, kita bimbang bila dibenarkan solat sunat Aidilfitri walaupun dihadkan 12 orang kita bimbang penduduk tempatan akan meluru ke masjid.
"Ini kita akan pastikan tidak berlaku. Jika berlaku juga, solat sunat (Aidilfitri) pada hari berkenaan tidak akan dilakukan di masjid berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Jelas Tosrin lagi, ahli qariah lain hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah masing-masing bagi menggantikan solat Jumaat.
Dalam pada itu, JAINJ turut membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan sepanjang PKPB bermula Ahad ini.
Dengan garis panduan yang disediakan JAINJ dan KKM termasuk bernikah hanya di pejabat kadi daerah dan hanya 6 orang sahaa dibenarkan sepanjang majlis akad berlangsung.
Iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi dari JAINJ atau MAINJ dan juru nikah.
Bagaimanapun tidak dibenarkan melangsungkan kenduri kahwin.
#Aidilfitri #coronavirus #COVID-19 #JAINJ #kahwin #KKM #solat Aidilfitri #Solat Jumaat #tosrin jarvanthi