PKPB Mukim 12 Barat Daya: 10 sekatan jalan raya di enam lokasi mulai tengah malam ini

Dewi Nur Harasha Alias
November 5, 2020 14:24 MYT
Supt A.A Anbalagan menerangkan kawasan sekatan jalan raya akan diadakan di enam kawasan di Mukim 12 daerah Barat Daya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok. - Foto BERNAMA
BAYAN LEPAS: Polis melaksanakan 10 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan enam laluan utama di kawasan Mukim 12, Barat Daya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa tengah malam ini (6 November) sehingga 19 November.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A.A Anbalagan berkata, polis tidak menutup laluan sepenuhnya sebaliknya hanya melaksanakan SJR di enam lokasi di daerah Barat Daya.
Enam lokasi itu ialah di Jambatan Kedua Pulau Pinang, Queensbay, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Sungai Nibong, Jalan Dato Ismail Hashim (depan Setia Triangle) dan Jalan Teluk Kumbar.
Menurut Anbalagan, SJR dilaksanakan bertujuan mengehadkan pergerakan masyarakat dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 susulan Kluster Bayan selepas peningkatan kes dilaporkan di kawasan tersebut.
Katanya, orang ramai di negeri itu tidak perlu panik dan bimbang kerana PKPB hanya dilaksanakan di mukim 12 meliputi kawasan Bayan Baru, Queensbay, Sungai Ara, Bayan Lepas, Batu Maung dan Zon Perindustrian Bebas (FTZ) seluas 26. 7 kilometer persegi.
"Enam lokasi tersebut adalah keluar dan masuk di jambatan kedua, di Queensbay, Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, dan kita harap dapat kerjasama (daripada) rakyat.
"Sekiranya mempunyai kesangsian boleh hubungi bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Anbalagan, SJR itu dibantu dengan kekuatan 328 pegawai dan anggota polis serta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan tidak berlaku kegiatan keluar masuk ke kawasan tersebut.
Beliau berkata, mereka yang berkerja di mukim 12 termasuk di Zon Perindustrian Bayan Lepas (FTZ) perlu mendapatkan surat kebenaran daripada majikan masing masing serta mempamerkan pas kerja sewaktu melalui kawasan SJR.
Manakala, bagi penumpang perkhidmatan udara, mereka yang mahu memasuki ke kawasan PKPB ini juga perlu mempamerkan surat kebenaran daripada majikan.
Anbalagan berkata mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan.
Selain itu, katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan saringan bersasar di kawasan berkenaan dengan membabitkan hanya dua peratus daripada 150,000 penduduk terlibat.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mukim 12 di Daerah Barat Daya dikenakan PKPB bermula 6 hingga 19 November.
Sehingga hari ini, Daerah Barat Daya mencatatkan sebanyak 51 kes positif COVID-19 termasuk membabitkan Kluster Bayan.
Daerah itu menjadi zon merah berikutan mempunyai kes aktif melebihi 41.
#SJR #Jambatan Kedua Pulau Pinang #queensbay #Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu #Jalan Sungai Nibong #teluk kumbar #Sekatan Jalan Raya #Sungai Ara #Bayan Lepas #Batu Maung #Kluster Bayan