KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah yang dijadualkan tamat Isnin ini, dilanjutkan sehingga 9 November depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan situasi peningkatan kes positif selain Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk negeri itu. 

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Semarak dan PPR Balung, Tawau, Sabah, berkuat kuasa 26 Oktober sehingga 8 November.

"PKPD di kedua-dua lokaliti ini akan melibatkan 4,266 rumah dengan 21,470 penduduk.

"Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan," katanya semasa sidang media di sini, pada Sabtu.

Semalam Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata, setakat ini terdapat 12,720 ujian COVID-19 yang keputusannya belum diterima.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata,  PKPD di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya akan ditamatkan pada 25 Oktober seperti yang telah dijadualkan.

Bagaimanapun ujarnya, kawasan terbabit masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi seluruh negeri Selangor.