PKPB Sabah, Lembah Klang: Perkhidmatan kerajaan terus beroperasi

Astro Awani
Oktober 12, 2020 11:02 MYT
Mohd Zuki berkata, ketua jabatan juga hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan kerajaan akan terus beroperasi dengan mengadaptasi sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah dan Lembah Klang.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata setiap ketua jabatan dikehendaki mematuhi Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31JLD.6(6) bertarikh 2 Mei 2020.
"Ketua jabatan juga hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini di samping memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menyediakan pensanitasi tangan.
"Pelaksanaan ini turut diguna pakai bagi mana-mana kawasan yang diisytiharkan PKPB," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Tambah beliau, penggunaan aplikasi atas talian juga perlu diberi keutamaan bagi meminimumkan perkhidmatan secara bersemuka seperti kaunter dan mesyuarat, selari dengan amalan penjarakan fizikal.
Ujarnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP secara terperinci dalam masa terdekat.
Sumber Facebook TanSriZukiAli
#PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #operasi perkhidmatan kerajaan #Tan Sri Mohd Zuki Ali #ketua setiausaha negara #KSN #SOP keselamatan #Pekerja #penjawat awam bertugas COVID19