PKPD: Aktiviti pertanian dilarang di enam kampung Orang Asli

Muhafandi Muhamad
Ogos 3, 2021 00:42 MYT
60 pengusaha kebun sayur dalam kawasan itu diberikan permit untuk membawa keluar hasil tanaman. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Sebarang aktiviti pertanian dalam enam buah kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan dilarang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula 30 Julai lalu.
Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, 60 pengusaha kebun sayur dalam kawasan itu diberikan permit untuk membawa keluar hasil tanaman.
Kebenaran itu diberikan kerana tidak mahu pekebun sayur mengalami kerugian apabila berlaku lambakan dan kerosakan hasil tanaman mereka.
“Hasil perbincangan mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat Gua Musang yang dipengerusikan ketua jajahan telah diputuskan bahawa hanya hasil pertanian sahaja dibenarkan untuk dibawa keluar oleh pekebun sayur dari kawasan PKPD.
“Lain-lain usaha seperti menanam dan membaja tidak dibenarkan untuk pengeluaran hasil semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, kawalan di pintu masuk di enam perkampungan itu kini berjalan lancar.
Setakat ini masyarakat Orang Asli di Kampung Cekau, Kampung Jedip, kampung Sengsang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau mematuhi arahan pihak berkuasa dengan kekal berada di rumah masing-masing.
#COVID-19 #berkebun #Orang Asli #Kelantan #Pos Brooke #Gua Musang #sayur #PKPD #Sik Choon Foo