KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 12 lokaliti di empat buah negeri bermula 19 Julai hingga 1 Ogos ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lokaliti yang dilaksanakan PKPD itu membabitkan Sabah, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan.

"Kerajaan turut memutuskan melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Pahang iaitu di Pos Iskandar, Bera dan Kuala Medang, Lipis.

"Lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD pula ialah Apartmen Seri Maju, Kota Kinabalu; Kampung Tinusa 2, Sandakan dan dua lokaliti di Tawau iaitu QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

PKPD di Negeri Sembilan membabitkan empat lokaliti iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas dalam daerah Rembau.

Beliau juga memaklumkan pelaksanakan PKPD di semua lokaliti ini setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pelanjutan PKPD di enam lokaliti di tiga buah negeri.

Lokaliti terbabit membabitkan tiga lokaliti di Kuala Muda, Kedah, satu lokaliti di Beaufort dan Kota Marudu di Sabah serta satu lokaliti di Pasir Puteh di Kelantan.

Katanya, kesemua enam lokaliti ini sepatutnya tamat PKPD pada 18 Julai namun ia dilanjutkan bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos ini.

Keputusan melanjutkan PKPD di enam lokaliti itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh KKM dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.