PKPD di Aman Jaya dilanjutkan sehingga Ahad ini - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
September 10, 2020 07:04 MYT
Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM masih menunggu ujian saringan kedua. - Gambar fail/BERNAMA
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan tiga hari lagi sehingga 13 September ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan saringan kedua melibatkan penduduk di kawasan itu.
"Hari ini, hari terakhir PKPD secara pentadiran di Aman Jaya. Walau bagaimapun KKM masih belum menerima ujian saringan kedua ke atas penduduk kawasan itu.
"Jadi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP memutuskan PKPD Secara Pentadbiran dilanjutkan tiga hari lagi sehingga 13 September ini," jelasnya.
Pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran dilaksanakan di tiga zon di Aman Jaya, iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.
Kawasan PKPD Secara Pentadbiran itu melibatkan 22,360 penduduk.
#Aman Jaya #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #PKPD #ujian saringan