Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran di Amanjaya akan berkuatkuasa sehingga 10 September ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan diputuskan ketika Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada Selasa.

Beliau menjelaskan, sehingga Isnin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 12,533 daripada 22,360 individu di Zon Kenanga, Mawar dan Melur.

"Sudah lebih daripada 50 peratus dan kita jangka dalam beberapa hari selesai semuanya disaring dan keputusan akan diperolehi selepas itu," kata beliau dalam sidang media pada Selasa.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menasihatkan semua yang terlibat agar memberi kerjasama dan patuh kepada arahan KKM dan PDRM sepanjang tempoh tersebut.

Dalam sidang media itu, beliau turut memberitahu, sebanyak RM44.517 juta sumbangan untuk Tabung COVID-19 telah dikumpul sejak dilancarkan pada 11 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, RM31.5 juta dibelanjakan antaranya digunakan untuk Program Bakul Makan sebanyak RM25.2 juta, bantuan khas pengurusan kematian (RM595,000) dan bantuan khas hilang pendapatan (RM5.67 juta).

"Tarikh tutup permohonan bantuan khas itu dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan.

“Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu,” katanya.