PKPD di beberapa lokasi dilanjutkan

Madiha Abdullah
Disember 18, 2020 11:58 MYT
Persiaran Paya Terubong, Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang adalah antara kawasan PKPD yang dilanjutkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi akan dilanjutkan sehingga 31 Disember.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit ialah Persiaran Paya Terubong, Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang; Kuarters dan Penjara Seremban, Negeri Sembilan serta Depot Tahanan Imigresen Langkap di Hilir Perak.
"Masih terdapat kawasan yang belum mencapai 40 peratus jumlah saringan dan memerlukan lebih masa untuk meneruskan proses saringan.
"Bagi Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban, Mukim 13 (Timur Laut), sebanyak 1,079 saringan dilakukan dan merekodkan 34 kes positif namun masih terdapat sampel saringan kedua belum diperoleh," katanya dalam sidang media hari ini.
Sementara itu, PKPD di taman perumahan dalam Mukim Sungai Seluang, Kedah ditamatkan Ahad ini.
Taman perumahan terbabit adalah Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis dan Taman Seri Limau.
Turut ditamatkan ialah PKPD di asrama Kilang Yamaha dan Madrasah Ad-Diniah AlFalahiah di Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #kes positif #ismail sabri yaakob #Negeri Sembilan #Kedah #Seremban