PKPD di dua lokaliti libatkan Pahang dan Sabah

Astro Awani
September 12, 2021 11:15 MYT
Dua lokasi tersebut ialah Rancangan Rumah Murah Kampung Kolek di Kuantan, Pahang dan Perumahan IOI Plantations Unico Oil Mill di Lahad Datu, Sabah. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua lokaliti masing-masing satu di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 September sehingga 27 September 2021.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata dua lokaliti tersebut ialah Rancangan Rumah Murah Kampung Kolek di Kuantan, Pahang dan Perumahan IOI Plantations Unico Oil Mill di Lahad Datu, Sabah.
Menurutnya, SOP PKPD bagi dua kawasan tersebut adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.
Sementara itu, kerajaan juga menetapkan untuk melanjutkan PKPD di Kampung Nelayan Benut di Pontian, Johor yang sepatutnya tamat pada Isnin, 13 September 2021.
Menurut Rodzi, PKPD di kawasan itu akan dilanjutkan untuk tempoh seminggu, bermula 14 September dan tamat pada 20 September 2021.
Dalam pada itu, tiga lokaliti di Sabah ditamatkan PKPD berkuatkuasa 13 September 2021, mengikut jadual ditetapkan.
Lokaliti tersebut ialah Taman Megah Jaya di Tawau yang mula dikenakan PKPD pada 17 Ogos lepas.
Dua lagi lokaliti ialah Kampung Bukit Gemuk, Tawau serta Kampung Nasakot di Ranau yang mula PKPD pada 31 Ogos lepas.
#PKPD #perintah kawalan pergerakan #Pahang #Sabah #MKN #COVID-19