KUALA LUMPUR:Kerajaan memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Latihan Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru bermula 3 hingga 16 November ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri PKPD di ILKKM Johor Bahru ini melibatkan seramai 1,559 individu yang terdiri pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan pekerja sokongan.

Ismail Sabri menjelaskan PKPD di ILKKM Johor Bahru ini dikenakan berikutan 46 individu disahkan positif COVID-19 daripada 1,515 saringan yang dilakukan.

"Dengan pelaksanaan perintah ini semua yang terlibat diwajibkan mematuhi SOP yang dikeluarkan termasuklah tidak dibenarkan keluar masuk ke ILKKM.

"Kecuali kes-kes kecemasan seperti ada keluarga meninggal di luar, tetapi perlu mendapat daripada pihak polis.

"Bekalan makanan kepada pelatih ILKKM akan dibekalkan oleh kerajaan negeri atau jabatan kebajikan masyarakat," katanya pada sidang media harian pada Isnin.

Beliau juga mengumumkan  PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kg.
Matambai dilanjutkan selama 14 hari bermula 3 hingga 16 November ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan PKPD Kg. Saguking Laut & Kg. Sebor Laut, Labuan ditamatkan pada 3 November 2020 sepertimana yang telah dijadualkan.