KUALA LUMPUR:Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah mulai esok, 10 November untuk tempoh 14 hari iaitu sehingga 23 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil selepas mendengar nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga 8 November 2020, KKM telah melaksanakan 441 saringan dan 102 kes positif COVID-19 direkodkan.

“PKPD itu akan melibatkan 701 buah rumah dan seramai 3,917 penduduk.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM melakukan saringan bersasar dan sekali gus menyekat penularan COVID-19 di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin.

Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang, pasar dibenarkan beroperasi selama 2 kali seminggu bermula 6.00 pagi sehingga 2.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

“Selain itu, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan untuk keluar daripada kawasan PKPD untuk mengeluarkan duit daripada mesin ATM/Bank,” katanya.