KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang, ditamatkan esok, lebih awal daripada jadual asal iaitu 20 April.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan semua sampel sudah diambil, kontak dikenal pasti dan diasingkan manakala kes terakhir dilaporkan ialah pada 3 April 2021 iaitu sebanyak lapan kes.

Katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kampung itu lebih awal, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berikut adalah lima tumpuan utama kenyataan media beliau:

1) PKPD ditamatkan di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang pada 15 April.

2) 42 individu ditahan, 35 dikompaun, tujuh lagi direman kerana ingkar SOP PKP pada Selasa.

3) 256 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan dalam tempoh sama.

4) 807 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa.

5) KPDNHEP lakukan 734 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan dan mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.