PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang, kuarters kakitangan bermula Khamis

Ridauddin Daud
Oktober 13, 2020 09:15 MYT
Pelaksanaan PKPD membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangannya bermula tengah malam Khamis ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengawal penularan wabak itu dalam komuniti.
“Pelaksanaan PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19.
“Jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 2,830 orang merangkumi 2,306 banduan, 304 kakitangan penjara dan keluarga yang mendiami kuarters dan 220 kakitangan penjara dan keluarga yang tidak mendiami kuarters,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Menurutnya, sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan itu tidak dibenarkan manakala pergerakan kakitangan penjara pula ditentukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia.
“Makanan dan keperluan asas akan disalurkan dengan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut.
“Selain itu, tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain.
“Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang sebelum dibebaskan,” katanya.
Tambah beliau, tahanan yang positif pula akan dirawat di hospital sebagai orang awam selepas tarikh pembebasan mereka.
#PKPD #Penjara Reman #pulau pinang #penajra #Ismail Sabri #ismail sabri yaakob #SOP #KKM #COVID-19 #ujian saringan #operasi #perintah kawalan pergerakan #PKP