KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Sungai Udang, Melaka dan kuarters kakitangannya, bermula 3 Februari sehingga 16 Februari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan peningkatan kes yang mendadak di kawasan terbabit.

"Sehingga 31 Januari 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 339 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

"SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan media harian, pada Isnin.

Sementara itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 826 individu atas kesalahan ingkar SOP.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (170), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (158), tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (248)," katanya lagi.