KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju untuk menamatkan hari ini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, di Lahad Datu, Sabah.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia berikutan tiada lagi kes baharu positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti terbabit dalam masa 18 hari.

"Sehingga 10 November 2020, KKM (Kementerian Kesihatan) mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua telah diperolehi dengan kesemuanya adalah negatif.

"KKM juga mendapati tiada lagi kes baharu positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah hari ini 11 November 2020," katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

BACA: Penduduk Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah bantah lanjutan PKPD

BACA: COVID-19: Penduduk Mutiara Kasih, Khazanah Indah mohon PKPD tidak dilanjutkan

BACA: PKPD: Keadaan di PPR Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah terkawal

Jelas beliau, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelanjutan PKPD di kedua-dua kawasan tersebut kerana menunggu keputusan sampel saringan yang belum diperolehi pada ketika itu.

Namun, katanya setelah keputusan diperolehi dan atas nasihat KKM, kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan PKPD dua lokaliti terbabit pada Rabu.

Terdahulu, pelaksanaan PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020, di mana ia kemudian dilanjutkan lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November 2020.

Kemudian, pada 9 November 2020, kerajaan telah melanjutkan lagi PKPD di kedua-dua kawasan ini sehingga 23 November 2020.

Pelanjutan itu turut mendapat bantahan penduduk di situ, yang rata-rata meluahkan kebimbangan kerana sukar bagi mereka untuk keluar mencari nafkah.