KUALA LUMPUR: Berdasarkan pengumuman yang dibuat sebelum ini, sembilan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berakhir hari ini.

Bagaimanapun PKPD di lima lagi lokaliti di wilayah itu belum ditamatkan sementara pelaksanaan PKPD di Selangor bermula 3 Julai lalu pula sepatutnya berakhir esok.

Keputusan sama ada PKPD yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini akan dilanjutkan atau ditamatkan, bagaimanapun, masih belum dipastikan sehingga kini. 

Seperti kebiasaan, sebarang keputusan akan dibuat dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini berhubung PKPD di Selangor dari semasa ke semasa.

Dalam tempoh 14 hari dikenakan PKPD, kedua-dua negeri itu mencatat kenaikan kes secara mendadak susulan saringan besar-besaran yang dilakukan serta penularan kluster komuniti dan tempat kerja.

Sebelum ini, 34 mukim di Selangor serta 14 lokaliti di Kuala Lumpur dikenakan PKPD selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai.

Ia melibatkan Daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Manakala di Kuala Lumpur pula melibatkan PPR Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2) , Flat Sri Sabah, Kampung Puah.

Turut dikenakan PKPD iaitu di PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan, Kampung Batu Muda, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

Bagaimanapun sembilan daripada lokaliti itu ditamatkan bermula 16 Julai, manakala Flat Seksyen 1 dan 2 Wangsa Maju, Kampung Puah, Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima) dan Kampung Batu Muda masih dilaksanakan PKPD.