KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak bermula 6 Februari sehingga 19 Februari 2021.

Pada masa sama, PKPD turut diumumkan di Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak bagi tempoh sama.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 2 Februari 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 81 ujian saringan di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II. 

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif COVID-19 telah direkodkan serta baki dua sampel masih menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak bermula 6 Februari sehingga 19 Februari 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di sekolah ini dan mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Mengenai PKPD Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak bermula 11 Februari 2021 sehingga 16 Februari 2021.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 10 Februari 2021," ujarnya.

Sehingga 3 Februari 2021, sebanyak 21 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 2,021 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.