KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, berkuat kuasa 5 sehingga 18 Mei.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku penularan kes di lokaliti tersebut selain terdapat 29 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan berkuat kuasa 5 Mei sehingga 18 Mei 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memastikan warga taman berkenaan yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar," katanya menerusi kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Beliau juga menjelaskan, PKPD di lokaliti tersebut dilaksanakan bagi membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.