PKPD di tiga lokaliti di Pahang tamat esok - MKN

Astro Awani
Oktober 22, 2021 09:53 MYT
Tiga lokaliti tersebut ialah Perkampungan Orang Asli di Pos Sinderut, Pos Lenjang dan Pos Titom. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di mukim Jelai di Lipis, Pahang ditamat esok.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata tiga lokaliti tersebut ialah Perkampungan Orang Asli di Pos Sinderut, Pos Lenjang dan Pos Titom.
PKPD di Pos Sinderut dilaksanakan pada 12 September lalu manakala Pos Lenjang dan Pos Titom dilaksanakan pada 26 September lepas.
"Keputusan menamatkan PKPD di tiga lokaliti itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada pengumuman lokaliti baharu dikenakan atau dilanjutkan PKPD, hari ini.
#PKPD #Majlis Keselamatan Negara #Rodzi Md Saad #Pos Sinderut