PKPD di Town Villa, sebahagian besar Flat Sibu Jaya tamat ikut jadual - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Mac 2, 2021 10:37 MYT
Bagaimanapun PKPD di beberapa blok Flat Sibu Jaya iaitu blok C, H, J, K, L, N dan R dilanjutkan bermula 5 sehingga 11 Mac 2021. - Gambar hiasan/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan perumahan Town Villa dan sebahagian besar Flat Sibu Jaya di Sibu ditamatkan seperti yang dijadualkan pada 4 Mac ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun PKPD di beberapa blok Flat Sibu Jaya iaitu blok C, H, J, K, L, N dan R dilanjutkan bermula 5 sehingga 11 Mac 2021.
Beliau berkata, saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap 6,818 penduduk di kedua-dua lokaliti itu mendapati 277 kes postif COVID-19.
"KKM mengesahkan kes di Perumahan Town Villa dan sebahagian besar blok Flat Sibu Jaya menunjukkan trend penurunan.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Perumahan Town Villa dan (sebahagian besar) blok Flat Sibu Jaya pada 4 Mac 2021 seperti yang dijadualkan," katanya di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mengenakan PKPD di kawasan berkenaan bermula 12 Februari.
#PKPD #Sibu Sarawak #Town Villa #Flat Sibu Jaya #ismail sabri yaakob #Kementerian Pertahanan #JPBN #COVID-19 #tidak dilanjutkan #ditamatkan mengikut jadual