PKPD Kota Setar: Polis tambah pasukan pemantau, tutup lapan laluan tikus

Abd Hadi Che Awang
Mei 18, 2021 23:57 MYT
Mohd Redzuan melakukan tinjauan di SJR Plaza Tol Alor Setar, awal pagi ini. - Astro AWANi
ALOR SETAR: Polis Kota Setar akan menambah pasukan pemantau kepada 41 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini, berbanding sembilan sebelumnya.
Timbalan Ketua Polis Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, tindakan itu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PKPD selain kepatuhan tertinggi penduduk terhadap setiap arahan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurutnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar akan melaksanakan dua sekatan jalan raya (SJR) di Tol Alor Setar Utara bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk.
Lima pusat pemeriksaan (checkpoint) juga akan dilaksanakan di lokasi yang melibatkan sempadan daerah iaitu Jalan Kepala Batas-Alor Setar, persimpangan Teluk Jamat-Pokok Sena, Jalan Kuala Sala, di hadapan Balai Polis Alor Janggus dan di hadapan Balai Polis Kota Sarang Semut.
Tambah beliau, pihaknya juga mengenal pasti lapan laluan tikus yang menghubungkan beberapa daerah lain dengan Kota Setar dan akan menutup secara keseluruhan kesemua jalan terbabit.
"Untuk lorong tikus (atau) jalan kampung, (atau) jalan yang di luar dari jalan utama, kita telah kenal pasti sebanyak lapan lokasi. Jalan ini (akan) ditutup secara sepenuhnya untuk PKPD ini.
"Jika sebelum ini semasa PKP, kita ada sembilan pasukan pemantau, untuk menguatkuasakan PKPD dan menampakkan ketegasan pihak polis, kita ada 41 pasukan pemantau yang akan berada di lapangan.
"Mereka ini akan memantau pergerakan dan juga aktiviti yang dibenarkan sahaja, mengikut SOP yang dikeluarkan MKN," kata Mohd Redzuan ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di SJR Plaza Tol Alor Setar, awal pagi ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, penglibatan pegawai dan anggota bagi penugasan PKPD kali ini adalah sebanyak 272 individu termasuk anggota Rela.
Pada Isnin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan di 28 Mukim di Kota Setar mulai 19 Mei hingga 1 Jun, berikutan peningkatan kes aktif COVID-19 di lokaliti berkenaan.
#COVID-19 #SOP #PKP #PKPD #SJR #polis #Alor Setar #tol #pasukan pemantau #perintah kawalan pergerakan #Sekatan Jalan Raya #Mohd Redzuan Salleh #pematuhan SOP #laluan tikus #jalan ditutup #IPD Kota Setar