DUNGUN: Kira-kira 500 peniaga di Pasar Dungun berdepan risiko gulung tikar ekoran ketiadaan pelanggan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan dua mukim.

Lanjutan PKPD selama dua minggu di Mukim Sura dan Kuala Dungun menyebabkan peniaga tersebut mengalami kemerosotan pendapatan yang teruk berikutan daripada kekurangan pelanggan.

Terdahulu pasar yang menjadi tumpuan ramai itu bertukar sunyi tanpa kehadiran orang ramai sejak PKPD dikuatkuasakan berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Peniaga mendakwa, keadaan tersebut diburukkan lagi dengan stigma negatif orang ramai yang menganggap masih berlaku penyebaran COVID-19 di pasar berkenaan yang sebelum ini pernah mencetus Kluster Pasar Besar Dungun.

Meskipun peniaga di pasar itu telah pulih dan  dibenarkan beroperasi kembali namun orang ramai tetap mengambil pendekatan dengan membeli barangan keperluan di kedai berhampiran kediaman sahaja berikutan bimbang akan penularan wabak tersebut.

 Pasar yang dulunya menjadi tumpuan ramai itu bertukar sunyi tanpa kehadiran orang ramai sejak PKPD dikuatkuasakan. - Astro AWANI

Situasi itu menyebabkan perniagaan mereka merudum sebanyak 80 peratus sehingga berlakunya lambakan stok dan ada juga yang terpaksa menutup perniagaan berikutan mengalami kerugian yang teruk.

Menurut peniaga mereka kini hanya mampu memperoleh pendapatan hanya cukup untuk membayar sewa bulanan kedai dan membuat bayaran kepada pembekal.

PKPD di Mukim Sura dan Kuala Dungun dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 17 hingga 30 Ogos melibatkan sebanyak 33 lokaliti.