SANDAKAN:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan menangguhkan pemindahan pendatang tanpa izin ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga dekat sini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di pusat berkenaan pada masa ini.

Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu ACP Mohd Azhar Hamin berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan tahanan, yang sepatutnya dipindahkan ke PTS itu sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

"Memandangkan PTS Sibuga dikenakan PKPD, wajar sekiranya tahanan selesai menjalani hukuman di penjara kekal di penjara (untuk keselamatan mereka) atau di pusat kuarantin transit pendatang sehingga PKPD di PTS itu ditamatkan," katanya selepas meninjau proses disinfeksi bas henti-henti di laluan Jalan Utara di sini hari ini.

PKPD di PTS Sibuga berkuat kuasa selama 14 hari bermula hari ini, berikutan lebih 100 kes positif COVID-19 dikesan di pusat berkenaan, yang mempunyai 1,104 tahanan dan menempatkan 105 anggota.

Mengenai program disinfeksi bas henti-henti itu, Ketua Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Cawangan Sandakan Mohd Soffian Eting berkata kira-kira 60 bas, yang beroperasi di laluan Jalan Utara melalui proses disinfeksi.

Beliau berkata program yang sama akan diperluaskan kepada perkhidmatan pengangkutan lain seperti bas sekolah, bas ekspres, teksi dan e-panggilan (e-hailing).

-- BERNAMA