KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Kudat, Sabah dilanjutkan sehingga 26 November.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kawasan yang terlibat ialah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang.

Ismail Sabri berkata keputusan tersebut diambil berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di ketiga-tiga kawasan tersebut.

“Terdapat 21 kes aktif di Kampung Pengaraban, 10 kes aktif  di Kampung Tanjung Kapor dan 54 kes aktif di Kampung Landung Ayang.

“Pada masa sama, terdapat satu jumlah yang besar sampel ujian saringan masih lagi menunggu keputusan.

“Oleh itu, atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju supaya PKPD di ketiga-tiga lokaliti dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 13 hingga 26 November,”  katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 431 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 413 individu dikompaun, 17 lagi direman dan satu dijamin (dibebaskan dengan jaminan polis),” katanya.

Menerusi Operasi Benteng pula, beliau berkata 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan.