PKPP: JAIS benar majlis akad nikah fizikal dilakukan bermula Isnin ini

Bernama
Jun 18, 2020 04:18 MYT
Kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada hanya 15 orang selain pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi. - Gambar hiasan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk membenarkan semula majlis akad nikah dilakukan secara fizikal di negeri ini berkuat kuasa Isnin depan dengan syarat-syarat tertentu.
Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah itu hanya boleh diadakan di masjid atau di pejabat agama Islam daerah dalam kes tertentu yang dibenarkan oleh pendaftar kanan.
"Kehadiran bagi majlis ini juga dihadkan kepada hanya 15 orang iaitu masing-masing tujuh wakil pihak lelaki dan lapan wakil daripada pihak perempuan selain daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi.
"Semua individu yang hadir pada majlis akad nikah mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan JAIS. Justeru, pelaksanaan akad nikah menerusi sidang video seperti sebelum ini adalah dihentikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semua Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) perlu membantu serta memudahkan urusan permohonan perkahwinan seperti termaktub di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, katanya.
Mohd Shahzihan berkata orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai perkara itu boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS dengan menelefon 03-55143479.
Sebelum ini, JAIS hanya membenarkan majlis akad nikah dilakukan melalui sidang video bermula 20 April lepas, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
-- BERNAMA
#akad nikah #COVID-19 #Fizikal #garis panduan #JAIS #majlis #Mohd Shahzihan Ahmad #pejabat agama #pendaftar kanan #pendaftar perkahwinan #Pengantin #permohonan perkahwinan #PKPP #saksi #Selangor #sidang video