PKR kecam tindakan halang Nurul Izzah masuk ke Sabah

Irwan Muhammad Zain
Mei 30, 2013 11:48 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Pejabat Ketua Menteri Sabah yang bertindak menghalang Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dari memasuki Sabah dan mengarahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dihantar pulang.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, PKR turut menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk memberi penjelasan sepenuhnya sebab Nurul Izzah dihalang masuk, serta menarik balik serta-merta halangan tersebut.
"KEADILAN turut menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengumumkan sepenuhnya senarai "persona non grata" negeri Sabah, dan sebab nama-nama ini dimasukkan ke dalam senarai tersebut," katanya.
Nurul Izzah Anwar ditahan dan dihalang dari memasuki Sabah oleh pihak Imigresen negeri tersebut ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pukul 7 petang tadi.
Menerusi akaun twitternya, Nurul Izzah memaklumkan diarahkan pulang oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Saya ditahan oleh Imigresen Sabah & diarah pulang oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca PRU13. Just u wait, BN!

— Nurul Izzah (@n_izzah) May 30, 2013
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ketika dihubungi, Nurul Izzah memaklumkan beliau cuba mendapatkan penjelasan tetapi pihak Imigresen memaklumkan ia adalah rahsia.
"Saya cuba bertanya siapa lagi yang dihalang memasuki Sabah tetapi mereka (Imigresen) memaklumkan perkara tersebut adalah rahsia dan ini arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah.
"Kejadian ini merupakan pertama kali dalam sejarah hidup saya," katanya yang dijangka akan dihantar pulang dengan penerbangan malam ini.
Beliau memaklumkan ke Sabah untuk menyambut pesta Kaamatan bersama rakyat Penampang.
Difahamkan ini merupakan lawatan pertama ahli parlimen Lembah Pantai itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Pada PRU-13, Nurul Izzah berjaya mempertahankan kerusi parlimen Lembah Pantai setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
#Nurul Izzah #PKR #Sabah