PKR Kelantan mahu bertanding 15 kerusi DUN

Bernama
Januari 20, 2018 08:55 MYT
Mengulas pertandingan tiga penjuru yang mungkin berlaku antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan PAS di Kelantan, Abdul Aziz berkata ia sebenarnya akan memberi keuntungan kepada parti yang bertanding.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan mahu bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Pengerusinya Abdul Aziz Abdul Kadir berkata hasrat untuk bertanding di 15 kerusi DUN itu wajar memandangkan Kelantan mempunyai 45 kerusi.
"Ia penting bagi mewujudkan keadilan kerana setiap parti komponen iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga boleh mendapat 15 kerusi DUN kerana difahamkan setakat ini, DAP tidak berhasrat meletakkan calon.
"Keputusan untuk bertanding berapa banyak kerusi akan diputuskan di peringkat PKR Pusat... ini hanyalah cadangan daripada PKR Kelantan sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mengulas pertandingan tiga penjuru yang mungkin berlaku antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan PAS di Kelantan, Abdul Aziz berkata ia sebenarnya akan memberi keuntungan kepada parti yang bertanding.
"Jika dahulu kita perlu menang 51 peratus undi jika ada pertandingan dua penjuru, namun sekarang skopnya lebih kecil kepada 35 peratus sahaja kerana pecah undi," katanya.
Menyasarkan pengundi baharu dan memberi tumpuan kepada masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat, beliau berkata wujud desakan di pelbagai peringkat lapisan masyarakat untuk angin perubahan.
Pada PRU13, PKR bertanding di lima kerusi DUN iaitu Guchil, Paloh, Pengkalan Kubor, Kuala Balah dan Nenggiri dan tiga kerusi Parlimen iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang.
Bagaimanapun, PKR hanya memenangi kerusi DUN Guchil. Kerusi Parlimen Tumpat diperoleh PKR selepas Anggota Parlimen, Datuk Kamaruddin Jaffar yang sebelum itu anggota PAS melompat parti.
Abdul Aziz berkata PKR Kelantan juga bersetuju menyerahkan kerusi Parlimen Ketereh, Machang dan Tumpat untuk ditandingi PPBM, manakala PKR bertanding di Tanah Merah dan Pasir Mas sebagaimana diputuskan dalam Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini.
-- BERNAMA
#Abdul Aziz Abdul Kadir #Barisan Nasional #Dewan Undangan Negeri #Kelantan #kerusi DUN #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #PAS #pilihan raya umum #PKR #PRU13 #PRU14