Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini telah melancarkan kempen #BantahGST dan mensasarkan sebanyak 200,000 tandatangan menjelang 1 Mei dan seterusnya berharap untuk mendapat satu juta tandatangan.

Pelancaran kempen itu di kawasan tol Damansara yang berhampiran dengan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membelenggu masyarakat.

Ketika satu sesi sidang media bersama pemimpin PKR, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, “sehingga kini kami telah berjaya mendapat lebih 15,000 tandatangan dalam masa hanya lima hari.

"Kami mensasarkan 200,000 jumlah tandatangan menjelang 1 Mei, dan sekiranya jika kita boleh mendapat satu juta, kerajaan akan mungkin menarik semula GST kerana mereka akan sedar ramai yang tidak berpuas hati”.


Pengarah Strategi Pusat PKR, Sim
Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga merupakan Pengarah Strategi Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin dilihat di kawasan tol Damansara ketika mengedarkan sticker kereta #BantahGST - Astro AWANI/SATHESH RAJ

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan sambil menyokong kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat perlu bijak menangani dan menghalusi apa yang sedang berlaku supaya tidak terus ditindas.

Beliau mendakwa bahawa dalam parlimen ada menteri yang beranggapan bahawa tiada penderitaan dalam kalangan rakyat disebabkan oleh GST.

“Ada menteri yang berkata terdapat kurang aduan daripada masyarakat tentang GST dan oleh sebab itu GST diterima baik oleh rakyat,” kata Manivannan yang juga pengerusi biro kepenggunaan.

Sekiranya rakyat tidak berpuas hati mereka sepatutnya menggunakkan saluran yang disediakan seperti menandatangani petisyen supaya dapat menggesa kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Pengedaran sticker kereta #BantahGST
Seorang penyokong kempen #BantahGST dapat dilihat di perkarangan tol Damansara ketika pengedaran sticker kereta #BantahGST berpegangkan 'banner Bantah Cukai Rakus'.- Astro AWANI/SATHESH RAJ

Terdapat kemungkinan besar GST akan diberhentikan oleh pihak kerajaan sekiranya terdapat tekanan kuat daripada pihak rakyat.

Kempen #BantahGST itu juga akan diadakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran tentang cukai yang dikatakan membebankan rakyat itu dan akan diteruskan di Miri, Sarawak pada Ahad.

Difahamkan bahawa PKR akan menggerakkan semua anggota ADUN, ketua-ketua cabang dan ahli-ahli parlimen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam menjayakan kempen tersebut.

Manivannan dan Sim
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kapar G.Manivannan dilihat ketika pengedaran sticker kereta #BantahGST di tol Damansara. - Sumber Gambar PKR
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya kuasa mereka sebagai pengguna dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga sengaja mengambil kesempatan di sebalik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Najib juga berkata, rakyat boleh menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan tidak membeli barangan yang dijual oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau percaya jika rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa pengguna yang ada di tangan mereka, lambat laun peniaga yang tamak tidak akan berani bertindak menaikkan harga dengan sesuka hati kerana 4,000 barangan keperluan harian dikecualikan daripada dikenakan GST.

"Kalau pihak itu tak sepatutnya mengenakan GST, tolong laporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jumaat berkata harga barangan dan perkhidmatan telah naik antara 20 hingga 30 peratus selepas GST mula dilaksanakan 1 April.

BACA: PKR akan kaji semula GST jika ambil alih Putrajaya

BACA: GST: Kenyataan PM dipersenda anggota pembangkang

BACA: Media sosial: Suka duka #10HariGST