Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian muktamad beliau terhadap janji memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Menurutnya naib presidennya, Nurul Izzah Anwar, jika perkara itu tidak dilakukan ia akan dipersoalkan oleh rakyat yang menuntut supaya janji tersebut ditepati.

“Kata-kata serta kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, apatah lagi sebegini wajib dilunas dan diberikan sepenuh perhatian oleh kerajaan di bawah seliaan Datuk Seri Najib Razak,” kata Nurul Izzah dalam satu sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Anggota parlimen Lembah Pantai itu berkata, ‘masalah dalaman’ yang berlaku dalam Umno seperti percanggahan pendapat di kalangan menterinya yang menyokong serta membantah pemansuhan akta tersebut telah menyekat pelunasan janji itu.

Kata beliau lagi, kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengatakan “sekiranya akta itu dimansuhkan, tidak akan ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang menghasut” adalah salah.

Sementara itu, Nurul Izzah berpendirian bahawa undang-undang sedia ada seperti Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) sudah mencukupi untuk menangani kenyataan-kenyataan yang boleh mengakibatkan ketakutan atau kegusaran di kalangan masyarakat.

“PKR juga amat gelisah dengan pengumuman Datuk Seri Zahid Hamidi tentang keperluan mewujudkan undang-undang baru menggantikan kuasa Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan pada 2011,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan di Parlimen pada 1 Julai (Isnin), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri telah memaklumkan bahawa tarikh sebenar pemansuhan Akta Hasutan 1948 masih belum dapat diputuskan.

Menurut beliau, ini kerana perkara tersebut masih dalam kajian dan memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.

Katanya penelitian dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Tambahnya lagi, Rang Undang-undang Keharmonian Nasional, iaitu undang-undang yang bakal menggantikan Akta Hasutan, hanya akan dibentangkan setelah penelitian dan kajian dimuktamadkan serta pihak yang berkepentingan yang berkaitan telah dirunding.