MALAYSIA
PKR Putrajaya buat laporan polis akaun TikTok cetus kenyataan provokatif

Mohd Hafiz berkata laporan polis itu dibuat ke atas pemilik akaun @rafidahhjibrahim berhubung satu hantaran yang dimuat naik baru-baru ini yang mengajak orang ramai untuk 'turun padang' ke lokasi itu pada 11 Sept (semalam). - Gambar fail
PUTRAJAYA: Parti PKR Cabang Putrajaya hari ini membuat laporan polis terhadap satu akaun TikTok yang didakwa menghasut dan memuat naik kenyataan provokatif berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya Mohd Hafiz Osman berkata laporan polis itu dibuat ke atas pemilik akaun @rafidahhjibrahim berhubung satu hantaran yang dimuat naik baru-baru ini yang mengajak orang ramai untuk 'turun padang' ke lokasi itu pada 11 Sept (semalam).
"Satu laporan polis telah dibuat hari ini terhadap individu yang dikenal pasti telah memuat naik kandungan berbentuk provokasi, yang boleh mengancam ketenteraman awam, memecah-belahkan masyarakat khususnya melibatkan penduduk Kampung Sungai Baru dan pihak berkepentingan dalam isu ini.
"Kenyataan yang disebarkan melalui platform TikTok akaun Rafidah Haji Ibrahim jelas mengandungi unsur hasutan terhadap penduduk dan orang awam untuk bertindak melawan undang-undang, tuduhan liar terhadap pemimpin dan pihak berkuasa tanpa asas fakta serta seruan untuk bertindak ganas terhadap sebarang tindakan penguatkuasaan," katanya kepada pemberita di pekarangan IPD Putrajaya di sini hari ini.Mohd Hafiz berkata kenyataan itu juga dilihat cuba mencetuskan kebencian dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Mohd Hafiz bersama Ketua Biro Perpaduan cabang itu V.Theventharan dan ahli parti yang lain hadir membuat laporan polis terhadap pemilik akaun berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan segera dan tindakan wajar diambil bagi mengelakkan penyebaran kandungan itu secara meluas.
"Kami juga ingin menegaskan bahawa (parti) Keadilan Putrajaya komited untuk membela hak penduduk Kampung Sungai Baru melalui saluran yang sah dan rundingan yang adil dan bukan melalui provokasi atau hasutan.
"Sebarang perbezaan pandangan harus disuarakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta serta undang-undang negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan.
Semalam, polis bersama agensi penguat kuasa melaksanakan operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru susulan arahan mahkamah.
Keadaan tegang berlaku apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman turut cedera dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal situasi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami