KUALA LUMPUR: Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rantaian bekalan perlu memainkan peranan penting dalam menyokong usaha agenda perubahan iklim negara. 

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang, setiap PKS digalakkan melibatkan diri dalam aspirasi sifar pelepasan gas rumah hijau dalam memastikan kemampanan setiap syarikat itu. 

"Menjadi salah satu strategi untuk mendepani isu perubahan iklim ini, kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat di Malaysia untuk mengisytiharkan aspirasi sifar pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih dalam memastikan kemampanan operasi syarikat.

"Memandangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang 38.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan Malaysia, PKS akan memainkan peranan yang amat penting dalam agenda perubahan iklim negara.

Pelepasan gas rumah hijau serta pelepasan karbon oleh sektor tertentu dikhuatiri terus memberi kesan kepada perubahan iklim dunia. - Gambat fail

"Malah perniagaan kecil-kecilan juga menghasilkan pelepasan karbon, sebagai contoh sama ada melalui premis anda, kenderaan yang anda gunakan, atau rantaian bekalan anda," jelasnya dalam webinar Penerimagunaan Kemampanan untuk PKS secara maya baru baru ini.

Mengulas lanjut tambah Zaini, semua pihak seharusnya membuka mata terhadap kesan perubahan iklim yang melanda negara.

Lebih lagi apabila banjir besar pada Disember tahun lalu yang memberi kesan buruk kepada perniagaan, rakyat dan ekonomi negara. 

"Malaysia tidak terkecuali dalam mendapat kesan perubahan iklim. Bencana banjir yang melanda negara pada Disember 2021 telah memberikan impak kepada ekonomi negara.

Kejadian banjir pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian hampir RM6.5 bilion di lapan negeri yang terjejas. - Gambar fail

"Sebanyak RM6.5 bilion kerugian dicatatkan, melibatkan 125,000 mangsa yang hilang tempat tinggal dan 54 kematian dilaporkan di lapan negeri yang terjejas. Ia menjadi sejarah bencara terburuk pernah berlaku di negara ini sejak tahun 1971," jelasnya lagi.

Justeru, ujarnya lagi, sudah tiba masanya semua pihak terutama sektor PKS untuk mengambil bahagian dalam agenda perubahan iklim negara.

Malah penglibatan sektor korporat seperti Capital Markets Malaysia (CMM) dalam mewujudkan inisiatif bagi merangsang penerimagunaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) jelasnya tepat pada masanya.

"Dengan membangunkan inventori pelepasan gas rumah hijau (GHG), perusahaan PKS akan dapat memahami kedua-dua kesan langsung dan tidak langsung operasi perniagaan dan kepada alam sekitar.

"Perniagaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil kira pelepasan mereka untuk mendahului yang lain dan relevan dalam masa yang mencabar ini.

"Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh Capital Markets Malaysia (CMM) sememangnya patut dipuji kerana webinar ini akan membantu PKS dalam mengamalkan kemampanan utama dan amalan ESG secara progresif dalam perniagaan mereka," jelasnya lagi.

Malaysia tidak terkecuali terkesan dengan perubahan iklim global. - Foto BERNAMA

Sementara itu, bagi Pengerusi CMM, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin pula berkata, usaha itu dijalankan bagi membangunkan program kemampanan korporat dalam mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

"Bagi CMM, program ini membentuk komponen penting bagi Centre for Sustainable Corporation CMM kami untuk memajukan usaha kemampanan Malaysia syarikat tersenarai awam.

"Memandangkan CMM terus menyokong syarikat-syarikat ini dalam perjalanan kemampanan mereka, adalah penting untuk memastikan bahawa PKS yang membentuk sebahagian daripada rantaian bekalan mereka turut bergerak seiring," jelasnya.

Tambahnya, menerusi kajian dijalankan Standard Chartered pada 2021 mendapati 78 peratus daripada syarikat multinasional (MNC) akan menyingkirkan pembekal yang mengancam pelan peralihan karbon mereka menjelang tahun 2025.

Ia sekali gus jelasnya, menuntut sektor PKS serta rantaian bekalan untuk lebih proaktif dalam mengutamakan kemampanan serta penguranan perlepasan karbon dalam perniagaan mereka.

"Pembekal yang mengambil langkah proaktif untuk mengutamakan kemampanan berada dalam kedudukan lebih baik untuk kekal menarik pelanggan korporat besar ini," jelasnya lagi.