PLANMalaysia tingkat penglibatan awam percepat kelulusan Akta Pembaharuan Bandar

Alias berkata penglibatan awam menerusi sesi dialog penting bagi melindungi keselamatan penduduk, khususnya mereka yang tinggal di bangunan lama serta kawasan bandar yang uzur. - Gambar fail/Bernama
LABUAN: Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mempergiatkan penglibatan awam menerusi sesi dialog bagi memberi penjelasan dan mendapatkan sokongan menyeluruh terhadap kelulusan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bagi memastikan pembangunan bandar yang adil dan mampan.
Ringkasan AI
- PLANMalaysia menggalakkan penglibatan awam melalui sesi dialog bagi memperoleh sokongan terhadap kelulusan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) demi pembangunan bandar yang adil dan mampan serta keselamatan penduduk, terutamanya yang tinggal di bangunan lama.
- Tema Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 menekankan visi dan komitmen terhadap pembangunan bandar mampan serta daya tahan bandar dalam menghadapi cabaran pembandaran dan perubahan iklim, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.
- Perancangan bandar di Labuan berteraskan konsep CHASE (bersih, sihat, maju, selamat, lestari) untuk meningkatkan imej bandar, landskap, pembangunan bandar pintar, serta memastikan Labuan sebagai bandar yang dinamik dan mampan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.
Alias berkata semasa sesi dialog pada 30 Nov, telah ditegaskan bahawa pembaharuan bandar adalah keperluan mendesak bagi melindungi keselamatan awam, khususnya bagi komuniti yang menetap di bangunan lama dan tidak selamat.
Beliau berkata keperluan melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk profesional, ahli akademik, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat bagi memastikan URA diluluskan secara bermaruah dan boleh dilaksanakan.
Beliau berkata tema Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun ini mencerminkan visi yang jelas serta komitmen yang kukuh ke arah pembangunan bandar mampan, khususnya dalam memperkukuh daya tahan bandar bagi menangani cabaran pembandaran dan perubahan iklim.
"Bandar-bandar di Malaysia, khususnya Wilayah Persekutuan Labuan mesti mencapai tahap kesiapsiagaan dan daya tahan yang tinggi bagi memastikan kelestarian jangka panjang serta kesejahteraan rakyatnya," katanya.
Alias ketika mengulas hala tuju pembangunan Labuan berkata Rancangan Struktur Labuan 2040 sangat signifikan dalam merangka trajektori baharu pertumbuhan Wilayah Persekutuan itu, selaras dengan dasar perancangan bandar negara.
Beliau berkata projek pembangunan seperti Labuan Waterfront Fasa Satu, perobohan Hotel Labuan serta guna semula adaptif bangunan menyokong penjanaan semula bandar bagi memastikan Labuan kekal sebagai bandar yang dinamik dan mampan.
"Inisiatif ini dijangka mewujudkan peluang pelaburan baharu, menarik lebih banyak pelancong serta meningkatkan imej bandar, selaras dengan projek strategik yang dikenal pasti sebagai pengubah keadaan di bawah Rancangan Struktur Labuan 2040 bagi merangsang ekonominya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata konsep bandar CHASE (bersih, sihat, maju, selamat dan lestari) menjadi inspirasi teras yang memandu perancangan dan pembangunan bandar di Wilayah Persekutuan itu.
Beliau berkata usaha perancangan semasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan imej bandar, peningkatan estetika landskap, pemajuan pembangunan bandar pintar serta pelaksanaan pelbagai inisiatif yang sejajar dengan konsep CHASE.
"Kepelbagaian acara dan aktiviti yang dianjurkan di Labuan hari ini juga berteraskan konsep ini, menjadikan bandar lebih menarik dan bertenaga," katanya.
Mohd Sukuran berkata perancangan bandar tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai latihan teknikal, sebaliknya sebagai cerminan aspirasi rakyat, platform keterangkuman sosial serta asas kepada kemakmuran masa hadapan.
Beliau berkata sebagai sebuah Wilayah Persekutuan yang unik, Labuan memerlukan pendekatan perancangan yang progresif dan berteraskan rakyat, dan maklum balas yang dikumpulkan sepanjang sambutan itu akan menjadi rujukan penting dalam memperkukuh dasar serta inisiatif pembangunan di bawah Rancangan Struktur Labuan 2040 dan Draf Pelan Tempatan Labuan 2040.
Alias turut menekankan kepentingan tiga pendekatan utama dalam pembangunan bandar, iaitu pendekatan menyeluruh berpandukan Rancangan Struktur Labuan 2040, pendekatan inklusif melalui penyertaan aktif semua pihak berkepentingan, serta pendekatan berasaskan bukti yang berteraskan data saintifik, penilaian impak dan petunjuk prestasi yang jelas.
Beliau berkata sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 peringkat Labuan, yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, berfungsi sebagai platform penting bagi memperkukuh kerjasama dan perpaduan ke arah membina bandar yang selamat, mampan dan pintar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


