Platform 9 Pudu Sentral dinaiki air akibat kebocoran paip

Astro Awani
Mei 17, 2014 12:31 MYT
Kebocoran paip yang menyebabkan air bertakung di Platform 9, Pudu.
Parkir bas di Platform 9 Pudu Sentral dinaiki air akibat kebocoran paip yang terletak di siling platform bas tersebut.
Kejadian difahamkan berlaku sekitar jam 5.30 petang apabila air yang dipercayai datangnya daripada tandas di Pudu Sentral itu melimpah ke lantai platform tersebut.
Tinjauan Astro AWANI di Pudu Sentral petang tadi mendapati bahawa sekitar kawasan di parkir bas di Platform 9 itu digenangi air namun tiada sebarang bas yang sedang parkir disitu.
Persoalan yang timbul ialah meskipun Pudu Sentral telah menjalani penambahbaikan terhadap infrastruktur sekitar tahun 2011 namun kejadian seperti itu masih juga terjadi dan sehingga jam 7 petang tadi, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan Pudu Sentral.
Ternyata, kejadian yang berlaku itu menyukarkan syarikat-syarikat bas yang mempunyai bas yang akan berhenti disitu sementara menantikan penumpang naik ke dalam bas mereka.
#paip bocor #platform 9 #Pudu Sentral