KUALA LUMPUR: Akademi Sains Malaysia pada Khamis menandatangani perjanjian kerjasama dengan lima universiti penyelidikan dalam membangunkan Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) bagi memperkukuh amalan perkongsian data mentah penyelidikan negara.

Universiti terbabit ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kelima-lima universiti akan menjadi perintis bagi amalan perkongsian data mentah penyelidikan selaras dengan usaha global menjadikan pengetahuan saintifik tersedia secara lebih terbuka.

"UNESCO mendefinisikan sains terbuka sebagai gerakan dan amalan yang bertujuan menjadikan pengetahuan saintifik tersedia secara terbuka, mudah dicapai dan boleh diguna semula oleh semua lapisan masyarakat.

"Saya difahamkan negara lain seperti Australia dan Jepun turut menggalakkan sains terbuka menerusi platform Australian Research Data Commons (ARDC) serta Research Centre for Open Science (RCOS)," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama MOSP pada Khamis.

Beliau berkata inisiatif yang mula diterajui kementeriannya pada 2019 itu akan meningkatkan kerjasama transdisiplin antara pakar dan bakal meningkatkan hasil penyelidikan yang mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai isu dihadapi negara.

"Melalui platform ini juga, masyarakat secara amnya akan mendapat akses kepada projek penyelidikan yang telah dijalankan terutama yang dibiayai menerusi dana awam dan diharapkan ia akan memacu inovasi negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kelebihan amalan sains terbuka, Adham berkata ia mampu menambah baik ekosistem penyelidikan agar kerjasama dan perkongsian ilmu dapat dipertingkat untuk kebaikan masyarakat.

Presiden Akademi Sains Malaysia Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail pula berkata penubuhan MOSP juga membolehkan data mentah penyelidikan yang ditaja oleh dana awam dilidungi dan disimpan dalam depositori yang dikawal kerajaan.

Beliau juga berkata pendemokrasian sains yang lahir dari sains terbuka dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada Malaysia yang kini menduduki tangga ke-24 di dunia dalam penghasilan penerbitan saintifik.

"Landskap penyelidikan di Malaysia menggambarkan bahawa 368,000 kertas penyelidikan telah dihasilkan sejak 2010 dengan lebih 1.7 juta petikan dan lebih 15,669 paten domestik difailkan pada 2001 hingga 2017," katanya.

-- BERNAMA