PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bercadang memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di kesemua lebuh raya kendaliannya.

Pemasangan dan penambahan kamera had laju itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya terutamanya yang berada di bawah kendalian PLUS.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata akan mencadangkan kepada pihak kerajaan dan pemasangan kamera had laju itu bergantung kepada kebenaran daripada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Azman berkata pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok di Jambatan Pulau Pinang.

Namun ia bergantung kepada siasatan penuh kemalangan di Kilometer 4.0 di jambatan itu baru-baru ini.

"Pada masa ini had kelajuan di jambatan tersebut ialah 80 kilometer sejam, manakala tembok kita mengikut piawaian antarabangsa British Standard 5400 (BS 5400).

"Sama ada perlu dikurangkan had laju dan menambah ketinggian tembok bergantung kepada laporan penuh hasil siasatan kemalangan itu nanti," katanya.

Azman berkata kadar kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang merekodkan penurunan sebanyak 54 peratus pada tahun 2018 berbanding 2017.

"Pada 2017 sebanyak 13 kes kemalangan maut direkodkan berbanding enam kes pada tahun lepas. Bagi kemalangan pula sebanyak empat peratus kadar penurunan iaitu daripada 345 kes kepada 332 kes," katanya.

Ahad lepas, sebuah kenderaan utiliti sukan Mazda CX-5 dipercayai terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, Georgetown, Pulau Pinang.

Kejadian kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang Ahad lalu itu, merupakan insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.