KUALA LUMPUR: Sebanyak 2 juta kenderaan dijangka akan menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS setiap hari pada hari-hari puncak sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.

Dalam satu kenyataan PLUS memaklumkan, bagi menguruskan lonjakan trafik, syarikat itu telah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

Ia termasuk aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat dan hebahan maklumat trafik.

Selain itu, PLUS akan berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

Ia termasuk menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada anggota PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans, dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas.

PLUS juga akan menempatkan 269 pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan ini .

Langkah tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan.

Dalam pada itu, PLUS akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh terdekat.

PLUS menyarankan kepada pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal untuk mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak.