PLUS sedia beri kerjasama dalam siasatan kes gaduh dan langgar di Bangi

Astro Awani
Ogos 11, 2019 22:32 MYT
PLUS sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes kemalangan ini. -Gambar fail
PLUS Malaysia Berhad bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan yang berlaku berhampiran persimpangan Southville City, Bangi pada Sabtu.
PLUS dalam kenyataannya juga melahirkan rasa sedih dan kesal terhadap inisiden yang menyebabkan kehilangan nyawa seorang pengguna lebuh raya itu.
Menurut pengendali konsesi lebuh raya itu, syarikat juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berkelakuan agresif dan membahayakan pengguna lebuh raya lain.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Bandar Baru Bangi.
Berikutan itu sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.
#berkelakuan agresif #gaduh langgar #kemalangan kecil #membahayakan pengguna lebuh raya #PLUS Malaysia Berhad #Syed Muhammad Danial Syed Syakir