PM akan bertemu anggota kabinet bincang tentang Mara

Irwan Muhammad Zain
Ogos 10, 2018 17:19 MYT
Dr Mahathir menjelaskan perkara berkaitan Mara juga akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. - Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan dengan anggota Kabinet bagi membincangkan isu berkaitan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Dr Mahathir berkata, isu berkenaan Mara kini sudah menjadi satu isu sensitif dan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi perhatian jika ingin terus mendapat sokongan rakyat.
Selain itu, Dr Mahathir menjelaskan perkara berkaitan Mara juga akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai.
“Kalau mahu dapat sokongan, kita perlu sensitif kepada pendapat orang ramai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam tadi.
Sebelum ini, isu berkaitan Mara hangat diperkatakan apabila ia didakwa akan dipecah-pecahkan kepada beberapa kementerian.
Selain itu timbul khabar angin mengatakan Mara akan dibuka kepada semua kaum dan tidak lagi hanya menumpukan kepada orang Melayu.
#Bersatu #Dr Mahathir Mohamad #Majlis Amanah Rakyat #Malaysia #MARA #Pakatan Harapan #rakyat #sokongan