MALAYSIA

PM Anwar, Ahli Parlimen Kerajaan hadir taklimat prapersidangan Dewan Rakyat

Bernama 18/01/2026 | 07:50 MYT
Anwar Ibrahim menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana. -Gambar fail/Reuters
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim hari ini menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana.
  • Persidangan Dewan Rakyat bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan, dan dijadualkan selama 20 hari dengan perbahasan usul selama tujuh hari mulai 20 Januari.
  • Beberapa RUU baharu dijangka dibentangkan, termasuk yang mengenai had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Jemaah Menteri, Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan kerajaan dilihat mula tiba seawal 1.30 tengah hari ini.

Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan selama 20 hari itu turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul selama tujuh hari mulai 20 Jan.

Sidang Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada minggu ketiga bermula 4 hingga 10 Feb.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain bermula 11 Feb hingga 3 Mac.

Beberapa RUU baharu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, antaranya bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh serta RUU berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara.

Perdana Menteri pada 5 Jan lepas mengumumkan perkara itu, yang disifatkan sebagai antara langkah reformasi institusi yang bakal dilaksanakan kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.

Anwar berkata RUU lain termasuk RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.

-- BERNAMA


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Siapakah yang menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim?
    A: Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, Jemaah Menteri, serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
  • Q: Apa yang dijadualkan berlaku pada mesyuarat pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15?
    A: Pembentangan usul Menjunjung Kasih, Perbahasan Titah Diraja, dan perbahasan usul selama tujuh hari oleh Ahli Parlimen.
  • Q: Apakah RUU baharu yang dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini?
    A: RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, RUU berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, RUU Ombudsman 2025, dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.



#Dewan Rakyat #taklimat prapersidangan #Sultan Ibrahim #Rang Undang-Undang