MALAYSIA

PM Anwar akan melancarkan 'I LITE U' di Bukit Bintang pada 3 Jan

Bernama 27/12/2025 | 09:50 MYT
Majlis akan disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh bagi mempromosikan pelancongan negara. - Foto FB Jabatan Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR: Kawasan Bukit Bintang di ibu negara bakal menyaksikan pemandangan penuh memukau pada 3 Jan ini dengan majlis pelancaran "I LITE U" yang berlangsung di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, menandakan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).


Ringkasan AI
  • Majlis pelancaran "I LITE U" di Bukit Bintang pada 3 Jan akan tandakan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh bagi mempromosikan pelancongan negara.
  • Jalan utama di Bukit Bintang akan ditutup sementara untuk perarakan besar-besaran serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam demi mengurangkan kesesakan lalu lintas.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata majlis itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh juga dijangka hadir untuk menyokong kempen pelancongan negara.

Beliau berkata program peringkat kebangsaan itu diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencerminkan perpaduan dan aspirasi bersama Malaysia MADANI.

"Bukit Bintang akan bersinar terang apabila Malaysia mempamerkan kepelbagaian, daya tarikan dan keindahan budaya kepada dunia. Bagi menekankan kepentingan acara itu, majlis berkenaan akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen nasional, sekali gus memperkasakan kempen TMM 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata beberapa jalan utama di Bukit Bintang akan ditutup sementara pada 3 Jan untuk memudahkan perarakan besar-besaran melibatkan 20 kontinjen, serta persembahan oleh artis-artis terkenal tempatan.

Beliau berkata majlis itu dijangka menarik ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa, seiring dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang TMM 2026.

Nga berkata seluruh rakyat Malaysia dialu-alukan untuk turut serta dalam sambutan berkenaan dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain dapat merasai suasana secara keseluruhan.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan membuang sampah akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.

"Dalam kita bersiap sedia untuk menyambut tahun pelancongan, saya ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia untuk menjaga kebersihan di kawasan awam dan imej bandar supaya setiap pelawat pulang dengan kenangan manis dan berkekalan," katanya.

Di bawah peraturan baharu, individu yang diambil tindakan kerana membuang sampah merata-rata boleh dikenakan hukuman termasuk denda serta kerja pembersihan yang merupakan mandatori dan oleh itu, Nga menggesa semua peserta dan penonton untuk mematuhi undang-undang serta memainkan peranan bersama dalam memastikan kebersihan, keselamatan dan persekitaran yang mesra kepada pelancong.

-- BERNAMA


#Bukit Bintang #Anwar Ibrahim #Michelle Yeoh #Nga Kor Ming #Tahun Melawat Malaysia 2026