MALAYSIA

PM Anwar akan sampaikan dua Kenyataan Negara dalam sidang BRICS di Brazil

Firdaus Azil 04/07/2025 | 21:10 MYT
Anwar akan berkongsi pandangan dan keutamaan strategik negara mengenai cabaran global penting seperti perubahan iklim, kesihatan global dan transformasi digital. - Gambar fail/Astro AWANI
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyampaikan dua Kenyataan Negara dalam Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Julai di sini.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim Hadir Sidang Kemuncak BRICS - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan dua Kenyataan Negara dalam Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Brazil, menyentuh isu multilateralisme, ekonomi, AI, alam sekitar, kesihatan global dan COP30.
  • Peluang Malaysia Tonjolkan Dasar & Kepentingan Strategik - Penyertaan ini membuka ruang kepada Malaysia untuk mempromosi komitmen terhadap pembangunan mampan, keutamaan ASEAN 2025, serta pandangan negara mengenai cabaran global seperti perubahan iklim dan transformasi digital.
  • Hubungan Ekonomi Malaysia-Brazil & Tiada Agenda Keahlian BRICS - Delegasi Malaysia termasuk menteri dan wakil perniagaan hadir untuk mengukuhkan hubungan dagangan dua hala yang kini mencecah RM20.35 bilion. Namun, isu keahlian penuh BRICS belum dibincangkan dalam lawatan ini.


Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata kenyataan tersebut akan disampaikan sewaktu sesi Strengthening Multilateralism, Economic, Financial Affairs and Artificial Intelligence pada hari pertama; dan sesi Environment, COP 30, and Global Health pada hari kedua persidangan.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu merupakan mesyuarat pertama ketua-ketua negara dan kerajaan daripada negara-negara anggota dan negara-negara rakan BRICS.

“Malaysia secara rasminya menjadi negara rakan pada 1 Januari 2025. Tema sidang kemuncak kali ini ialah Turning Global South Cooperation for More Inclusive and Sustainable Governance.

“Penyertaan Perdana Menteri akan membuka peluang untuk menonjolkan dasar dan komitmen negara yang berterusan terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan, serta keutamaan-keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025,” katanya lagi.

Mohammad Ali berkata, Malaysia akan mengambil peluang tersebut untuk berkongsi pandangan dan keutamaan strategik negara mengenai cabaran global penting seperti perubahan iklim, kesihatan global dan transformasi digital

Tambahnya, lawatan Anwar adalah atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, dan turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa ketua negara di sela-sela sidang kemuncak tersebut.

Selain itu, beliau berkata, delegasi Malaysia turut disertai oleh 48 wakil perniagaan daripada 14 syarikat terkemuka termasuk Westports Holdings, UEM Group, dan CIMB Group.

Untuk rekod, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil telah mencecah RM20.35 bilion, meningkat sebanyak 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan Brazil merupakan antara pasaran utama Malaysia di Amerika Latin, khususnya bagi produk elektrik, elektronik dan getah.

Malaysia pula, katanya lagi, mengimport daging halal, gula mentah dan produk pertanian seperti soya dan kopi dari Brazil, yang turut menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia menyertai BRICS sebagai anggota penuh, Mohammad Ali menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak termasuk dalam agenda lawatan kali ini.

“Buat masa ini, Perdana Menteri dan menteri hanya dijadualkan untuk menyampaikan kenyataan negara dalam dua sesi sahaja. Perbincangan mengenai keahlian penuh masih belum ada dalam jadual.

“Keahlian penuh (BRICS) adalah perkara yang dibincangkan secara konsensus antara negara anggota dan setakat ini kita belum sampai ke peringkat tersebut,” jelas beliau lagi.





#Anwar Ibrahim #Kenyataan Negara #sidang kemuncak BRICS #Brazil