Skip to main content

Malaysia

PM Anwar arah pelaksanaan projek kecil di daerah dipercepat

JOHOR BAHRU, 15 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan Presiden Keadilan Bersama Keadilan Negeri Johor di Dewan Kencanapuri Pulai Spring, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berkata permasalahan rakyat di peringkat daerah perlu diteliti oleh semua pimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan juga negeri. - Foto Bernama

PONTIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan supaya pelaksanaan projek kecil di semua daerah seluruh negara dipercepat bagi membolehkan rakyat mendapat manfaatnya. 

Menteri Kewangan itu berkata permasalahan rakyat di peringkat daerah perlu diteliti oleh semua pimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan juga negeri.

Advertisement

“Orang senang dengan pengumuman projek raksasa (yang) penting bagi negara tetapi rakyat senang kalau longkangnya itu diperbaiki.

“Kalau jalan yang berlubang-lubang itu ditampung, kalau surau yang robek itu diperbaiki dan kita harus juga dengar keluhan rakyat dan ini menjadi keutamaan (saya). (Bermula) bulan Januari 2026, setahun gerakan memastikan projek-projek kecil dilaksana dengan kadar segera,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian dan Karnival Rakyat MADANI di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata sebanyak 23 projek pembangunan fasiliti kesihatan dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM2.625 bilion di Johor.

“Orang boleh nilai, memang betul projek besar penting… ini transisi tenaga, soal elektronik, soal transformasi kerana kita masih digital iaitu teknologi digital.

“Hal ini semua penting tetapi akhirnya yang penting itu anak di rumah… orang miskin di kampung yang mesti kita lihat dan cuba selesaikan,” kata beliau. 

Sementara itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak termasuk pegawai daerah dan pemimpin tempatan agar mengutamakan ketelusan, integriti dan keberkesanan dalam pentadbiran bagi memastikan dana yang diluluskan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Johor mempunyai potensi luar biasa dan dengan pengurusan yang betul, negeri ini boleh mencapai kemajuan yang lebih signifikan, sambil memastikan rakyat terus mendapat perhatian dan sokongan,” kata beliau.

Mengenai tuntutan hasil Johor diutarakan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz dalam ucapan pada majlis berkenaan, Anwar berkata satu rundingan perlu dilaksanakan dengan baik membabitkan kedua-dua pihak bagi menyelesaikan perkara itu.

“Jadi kalau begitu, rundinglah dengan baik. Yang pentingnya adakah rakyat dapat kebajikan sepenuhnya wang pusat, wang daerah, wang negeri?

“Itu semua teknikal, tidak kisah apa, rakyat pedulikah kalau wang ini daripada negeri atau wang ini daripada pusat. Yang penting wang sampai kepada rakyat, ini bagi saya yang penting,” kata beliau. 

Sebelum ini, media melaporkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan tanpa terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem pagar automatik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta kelewatan projek tebatan banjir negeri ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video