[TERKINI] Setiausaha Agung FAM Digantung Tugas Serta-Merta. Isu dokumentasi pemain warisan kepada FIFA – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

PM Anwar arah polis dan KDN pastikan keselamatan sekolah terjamin

Seth Akmal 17/10/2025 | 06:58 MYT
Anwar berkata, langkah itu antara tindakan segera yang perlu diambil berikutan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid di sekolah. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memastikan aspek keselamatan di kawasan sekolah dipertingkatkan bagi melindungi pelajar dan guru.


Ringkasan AI
  • PM arah PDRM & KDN tingkat keselamatan sekolah susulan insiden yang timbulkan kebimbangan, termasuk pemantauan kawasan sekolah sebagai langkah segera.
  • Sekolah diingatkan tidak lindungi kes disiplin atau buli, kerana tindakan itu boleh dianggap sebagai kesalahan seperti melindungi jenayah.
  • Langkah keselamatan akan dikaji secara menyeluruh, melibatkan keupayaan penguat kuasa dan aspek perundangan untuk pelaksanaan berkesan.


Anwar berkata, langkah itu antara tindakan segera yang perlu diambil berikutan beberapa insiden kebelakangan ini yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid di sekolah.

“Memadai untuk saya sebutkan di sini, ada langkah-langkah yang patut segera diambil, umpamanya menjamin keselamatan sekolah. Jadi, kita dah bincang, polis dan KDN akan pastikan bahawa pemantauan kawasan sekolah agar selamat itu juga menjadi tugas mereka,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu memerlukan penelitian menyeluruh meliputi keupayaan penguat kuasa dan aspek perundangan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

“Untuk kuat kuasa kita kena tengok jentera, undang-undang semua siap. Tapi dalam beberapa hal….saya fikir boleh segera seperti polis…itu hal yang boleh diambil tindakan segera,” katanya.

Anwar turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak melindungi kes disiplin termasuk kejadian buli demi menjaga imej institusi masing-masing. Menurutnya, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai kesalahan kerana menyembunyikan salah laku.

“Di antara masalah ini ialah salah faham ataupun keutamaan Pengetua atau Guru Besar…dia nak melindungi imej sekolah; anak-anak merudum, bertempur…jadi sebab itu, kita harus juga menekan mereka (untuk) bertanggungjawab. Kalau ada (insiden buli).

“Kalau ada yang dilindungi, maka dianggapkan satu kesalahan ibarat melindungi jenayah….jadi kes buli itu kecil jadi (jangan) ingat tak apa kerana yang kecil yang kalau dibiarkan akan menjadi besar,” katanya lagi.

Namun Perdana Menteri turut menegaskan tegurannya itu tidak dituding kepada mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan bersama.

“Kita bukan nak menuduh sesiapa tetapi mengharapkan satu kesedaran bersama kita lakukan sebaiknya,” katanya lagi.





#Anwar Ibrahim #PDRM #keselamatan sekolah #tikam pelajar #terkini