KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa dukacita atas kemalangan membabitkan 11 kenderaan yang meragut empat nyawa di Temerloh, Pahang, malam Isnin.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa, termasuk tiga beranak yang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi kemalangan di Temerloh yang meragut nyawa, termasuk sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, beliau telah meminta pihak berwajib menjalankan siasatan secara teliti bagi mengenal pasti punca kejadian.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Sebelum ini media melaporkan, kemalangan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat Lanchang itu berlaku kira-kira pukul 10.55 malam, membabitkan sebuah lori tangki muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang bergerak perlahan.
Tiga beranak yang maut ialah pasangan suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, masing-masing berusia 32 tahun, serta anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor.
Pemandu lori tangki dan pemandu Honda CR-V berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah, manakala pemandu serta penumpang kenderaan lain dilaporkan cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.