Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

PM Anwar bakal sampaikan amanat Hari Kebangsaan Sabtu ini - Aaron

Bernama 27/08/2025 | 10:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos ini di MAEPS. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri akan menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos di MAEPS, sebagai usaha memperkukuh semangat perpaduan dan patriotisme rakyat.
  • Tema sambutan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" menekankan bahawa setiap rakyat adalah aset negara yang perlu dihargai tanpa mengira latar belakang.
  • Kira-kira 5,000 tetamu dijangka hadir, termasuk pelajar, penjawat awam, belia dan wakil pelbagai sektor, bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan terutama dalam kalangan generasi muda.


Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata majlis itu diadakan sebagai satu daripada usaha untuk menyampaikan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi kerajaan mengenai kepentingan menghayati semangat perpaduan serta menyemai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", membawa maksud bahawa setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya, dan latar belakang adalah aset negara yang mesti dihargai, disantuni, serta dirangkul dalam semangat kebersamaan.

"Amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri diharap dapat memberikan inspirasi baharu kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu, menghargai pengorbanan generasi terdahulu, serta menghayati erti kemerdekaan dalam konteks cabaran semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata kira-kira 5,000 tetamu, termasuk penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), golongan belia, usahawan dan warga kerja swasta dijangka hadir ke majlis itu bagi menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi baharu.

-- BERNAMA


#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #ucapan Hari Kebangsaan #Aaron Ago Dagang #terkini