PHNOM PENH: Satu pelaburan baharu yang merupakan komitmen tertinggi kerajaan akan diumumkan pada Rabu atau Khamis ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat sempena lawatan rasmi beliau ke China yang bermula pada 29 Mac (Rabu) hingga 1 April 2023.

"Ini sahaja yang boleh jamin tentang nasib rakyat, pendidikan, kesihatan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kemboja di Kedutaan Besar Malaysia Phnom Penh, di sini, hari ini.

Anwar tiba di sini pagi tadi sempena lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja.

Beliau berkata kerajaan di bawah pentadbirannya akan memastikan ekonomi negara terus berkembang dan Malaysia mampu menjadi tarikan baharu bagi pelaburan.

Katanya, untuk itu, semua aspek yang berkaitan termasuk prasarana, infrastruktur atau insentif perlu terus diperkasa selain memberi tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

"Bila ada perubahan, maka ia boleh menarik pelaburan asing. Sebagai contoh Amazon yang mahu melabur di Malaysia walaupun ada negara lain yang menawarkan insentif menarik kepada mereka dan bila ia datang ke sini, ia akan menarik syarikat lain untuk datang, " katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan mahu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lebih telus dan fokus, dan bukannya menjadi saingan kepada sektor swasta.

"Kalau ada projek baik sektor swasta atau GLC tak patut compete (bersaing). Tapi mungkin kena bandingkan juga jika ada kelemahan," katanya ketika menjawab soalan daripada seorang tetamu mengenai pandangan terhadap GLC Malaysia yang selalu dipandang sebagai gergasi jika dibandingkan dengan perniagaan lain.

-- BERNAMA