MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan risiko pemantauan pergerakan pegawai kerajaan, khususnya yang mengendalikan portfolio keselamatan negara, sekiranya menggunakan aplikasi navigasi Waze.
Perdana Menteri berkata, keputusan mengehadkan penggunaan aplikasi itu hanya melibatkan pegawai kerajaan dan bukannya larangan menyeluruh terhadap orang awam.
"Memang kita tidak lagi haramkan Waze, tidak. Melainkan untuk pegawai-pegawai kerajaan. Sebab apa? Kalau Timbalan Menteri Pertahanan, dia pakai Waze. Itu kaitan dia itu langsung dengan Israel.
"Dia boleh pantau keseluruhannya. Ada kata ada cara lain. Memang betul mungkin ada cara lain. Ini cara yang paling mudah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, pendirian tegas itu turut mengambil kira dakwaannya bahawa ibu pejabat Waze terletak di Israel dan sebarang pertikaian undang-undang tertakluk kepada mahkamah negara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengakui kelemahan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, termasuk prestasinya yang tidak menentu, namun menegaskan perkara itu perlu diperbaiki.
"Saya tahu ada yang rasa kesal sebab TuJu itu tak menentu. Walaupun taklimat diberikan, dia siap. Tetapi ada kelemahan. Saya terima teguran dengan baik. Tetapi jangan kita balik terima Waze," katanya.
Tegasnya, Malaysia perlu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara melalui tindakan yang berada dalam kemampuannya, termasuk menyatakan pendirian terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.