MALAYSIA

PM Anwar bangkitkan isu tarif import dalam pertemuan dengan Rubio esok

Syafik Shukri Jalil 09/07/2025 | 04:05 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengesahkan isu tarif import 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan Presiden Donald Trump pada Selasa, akan dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, esok.

Ini kerana, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan AS mengenakan tarif secara unilateral akan memberi impak negatif kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

‘’Kami (Malaysia) telah menghantar pasukan rundingan untuk menjelaskan pendirian bahawa negara kita merupakan sebuah negara dagang dan sebarang tarif secara unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara ini dan rantau ini.

‘’Namun, rundingan masih berjalan dan apabila saya bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok. Saya pasti akan membangkitkan beberapa isu untuk pertimbangan beliau agar dapat dibawa ke perhatian sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Presiden Trump,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Selain itu kata Anwar, hubungan dengan Amerika Syarikat tetap penting dan perlu dikekalkan, namun Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kepentingan ekonominya.

‘’Tentunya hubungan dengan Amerika kita harus kekalkan, tetapi kita juga akan pertahankan pendirian kita bahawa Malaysia ini negara dagang.

‘’Jadi kita letak seperti pertimbangan, kita dah kemukakan alasan-alasan dan hujah, dan dia beri sampai bulan Ogos untuk memuktamadkan,’’ katanya lagi.

Pada Selasa, menerusi kenyataan rasmi di platform Truth Social, Trump mengumumkan, Malaysia tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import 25 peratus oleh AS.

Ia sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.

Menerusi pengumuman sama, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.









#tarif Trump #tarif import Malaysia #Donald Trump #PM Anwar Ibrahim #Marco Rubio #setiausaha negara Amerika Syarikat